Title bergerak-gerak

Tuesday 22 May 2018

TEKANAN PERASAAN MAMPU MEROSAKKAN MENTAL DAN FIZIKAL



Asalamualaikum dan salam sejahtera kepada visitor blog saya.


Kesihatan dan kesejahteraan diri yang menyeluruh menuntut emosi yang sihat dan sejahtera. Bahkan, banyak penyakit-penyakit fizikal adalah disebabkan oleh gangguan terhadap emosi. Gangguan emosi sering berpunca dari ketidakupayaan individu untuk menangani tekanan yang dihadapi dalam kehidupan seharian. 

Walaupun tekanan adalah sesuatu yang sangat normal dalam kehidupan seharian, membiarkannya akan mencetuskan keadaan yang lebih buruk terhadap kesihatan diri. Oleh yang demikian, mengenali tanda-tanda tekanan adalah penting untuk mencegah penyakit psikologi yang lebih serius.


1. Gangguan tidur



Tidur merupakan keperluan biologi badan yang normal bagi setiap individu. Ia merupakan satu keadaan di mana badan dan minda berehat dan hubungan dengan alam sedar terhenti. Semasa tidur, proses pemulihan dan tumbesaran badan berlaku. Ini merupakan satu proses yang sangat penting dalam memastikan fungsi badan kembali ke tahap yang optimum. Keadaan minda yang tidak tenang seperti bimbang, murung, putus asa dan lain-lain emosi yang negatif cenderung untuk menyebabkan gangguan rutin tidur individu. Minda dan emosi yang tenang dapat menyumbang terhadap keupayaan individu untuk mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti.

2. Perubahan rutin pemakanan

Tekanan cenderung untuk mempengaruhi selera dan pengambilan makanan individu. Bagi sesetengah individu, tekanan perasaan yang berlebihan cenderung untuk menyebabkan kehilangan selera makan. Sebaliknya, bagi sesetengah individu, pengambilan makanan seperti aiskrim dan coklat cenderung untuk meningkat seiring dengan tekanan perasaan yang di alami. Perubahan mendadak selera makan mungkin berkait dengan bebanan emosi yang berlebihan dan harus dipandang serius.

3. Gejala kesihatan fizikal yang tidak dapat dijelaskan

Tekanan perasaan cenderung untuk menyebabkan gangguan terhadap kesihatan fizikal. Antara masalah yang biasa dikaitkan dengan tekanan emosi adalah seperti sakit kepala, perut memulas, cirit-birit, sembelit, dan sakit yang berkait dengan otot seperti lenguh tengkuk dan belakang. Jika keadaan ini dialami, tanpa sebab perubatan lain, pengurusan tekanan emosi harus dilihat sebagai alternatif untuk menangani keadaan ini.

4. Kesukaran mengawal emosi negatif 

Individu cenderung untuk memindahkan emosi yang dialami terhadap orang di sekeliling mereka. Antaranya adalah terbawa-bawa emosi negatif yang dialami di tempat kerja ke rumah dan mempengaruhi pasangan dan anak anda. Adalah tidak sihat jika persekitaran sesebuah keluarga sentiasa dikuasai oleh emosi negatif. Apabila seseorang mempunyai kesukaran untuk mengawal emosi negatif mereka, terutama apabila berada dalam persekitaran sosial seperti dirumah atau ditempat kerja, individu tersebut mungkin mempunyai bebanan perasaan yang berlebihan.
5. Tingkah laku obsesif kompulsif 
Perilaku obsesif merujuk kepada keadaan minda yang was-was dan disertai perasaan bimbang. Ini diikuti oleh tingkah laku kompulsif yang cenderung untuk dilakukan berulang-ulang. Sebagai contoh, individu yang berulang kali memeriksa sama ada pintu rumah telah dikunci atau tidak dan tetap was-was sama ada telah melakukannya. Pembentukan tingkahlaku obsesif-kompulsif didapati mempunyai perkaitan dengan bebanan tekanan emosi yang berlebihan.

6. Keletihan melampau

Apabila badan tidak dapat menangani bebanan tekanan perasaan, ia sering ditunjukkan dalam bentuk keletihan fizikal yang melampau. Walaupun pemeriksaan perubatan tidak menunjukkan apa-apa penjelasan untuk keadaan ini, ia mungkin mempunyai perkaitan dengan bebanan tekanan emosi yang tidak ditangani dengan berkesan.

7. Masalah ingatan
Gangguan ingatan seperti lupa adalah perkara yang normal dalam kehidupan seharian. Setiap individu sudah tentu pernah terlupa dari masa ke semasa. Walaupun ia perkara yang tidak menyenangkan dan boleh menimbulkan pelbagai masalah, ia bukanlah sesuatu yang serius. Banyak perkara yang boleh menyebabkan seseorang menjadi pelupa. Namun, jika tidak mempunyai penjelasan klinikal, ia cenderung untuk mempunyai perkaitan dengan bebanan emosi yang berlebihan.

8. Menjauhi aktiviti sosial

Setiap individu mempunyai aktiviti yang boleh menggembirakan diri masing-masing. Hilang minat terhadap aktiviti-aktiviti tersebut boleh menjadi tanda-tanda bahawa seseorang mempunyai bebanan tekanan perasaan yang berlebihan. Perubahan yang ketara dalam tingkahlaku sosial cenderung untuk berkait dengan bebanan emosi yang tidak ditangani dengan berkesan.

9. Hilang keinginan seksual

Penurunan atau kehilangan keinginan seksual juga mempunyai kaitan dengan gangguan emosi individu. Sungguhpun banyak sebab lain yang boleh membawa kepada keadaan ini, bebanan tekanan perasaan merupakan salah satu daripada sebab-sebab tersebut. Terutamanya jika seseorang itu tidak mempunyai masalah lain bersama pasangannya.

10. Perubahan mood dan tingkahlaku

Perubahan mendadak mood seseorang yang jelas dilihat dan dirasai oleh orang disekeliling merupakan satu tanda tekanan perasaan yang berlebihan. Walaupun tidak disedari oleh individu itu sendiri, maklum balas dari persekitaran sosial perlu dipandang serius dalam memastikan kesihatan emosi.

No comments:

Post a Comment

Punca kulit wajah berjerawat

Assalamualaikum, Info ini saya sediakan kepada anda yang sering mengalami masalah jerawat. Masalah kulit itu banyak sekali faktor dan penyeb...